By : Muhammad Fakhrur Razi Mastarin
Program: Program Mobiliti Pengantarabangsaan UPM-IPB: International Duo Cultural Exchange Programme (IDCEP)
Seramai 12 orang mahasiswa yang terdiri dari Kolej Dua Belas,
Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menjalani Program Mobiliti
Pengantarabangsaan UPM-IPB: International Duo Cultural Exchange Programme (IDCEP)
2023 yang dijalankan selama dua minggu di Institut Pertanian Bogor (IPB) Universiti
Indonesia. Program ini merupakan anjuran barisan Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Dua Belas
sesi 2022/2023 dengan kerjasama pihak pengurusan Kolej Dua Belas dan Bahagian Hal
Ehwal Pelajar Pusat Pembangunan Akademik, Universiti Putra Malaysia. Program bertaraf
antarabangsa ini berfokuskan pegangan terhadap potensi kebolehpasaran bakal graduan
yang tinggi terutama sekali dari Universiti Putra Malaysia bagi mengorak langkah ke arah
pembangunan negara Madani dalam pelbagai bidang. Melalui program ini, mahasiswa dapat
memperoleh kemampuan untuk mengadaptasikan segala pengisian dan pembelajaran ke
dalam kehidupan seharian mereka sebagai seorang pelajar dan juga menjadikannya budaya
dan cara hidup di masa depan demi mencapai ke arah budaya kerja yang cemerlang.
Tambahan lagi, program pengantarabangsaan ini berpotensi untuk membina ukhwah antara
institusi di luar negara yang mana sekali gus mendorong kelompok pemimpin di Universiti
Putra Malaysia berfikiran matang dan lebih terbuka melalui perkongsian ilmu pengetahuan
yang dijana sepanjang program berlangsung. Hal ini bersesuaian dengan status Universiti
Putra Malaysia sebagai gedung ilmu.
Program ini diketuai oleh saudara Muhammad Fakhrur Razi Mastarin merangkap pengarah
program bersama-sama 11 mahasiswa yang lain. Mahasiswa UPM telah diberikan
penempatan dan pengangkutan dari pihak penganjur di Institut Pertanian Bogor (IPB)
Universiti Indonesia. Pada minggu pertama program, mahasiswa UPM berkesempatan
merasai suasana di Universiti Padjajaran di Bandung yang mengambil masa antara lima
hingga enam jam dengan menaiki bas dari IPB, Universiti Indonesia. Selain itu, mahasiswa
turut merasai aktiviti fizikal di Ladang Koko di Garut, Jawa Barat Indonesia serta Chocodot di
Bandung. Tambahan lagi, mahasiswa turut berpeluang untuk menimba ilmu berkenaan
pemprosesan kopi di Kopi Tanjung dan Kopi Palasari yang terletak di sekitar Bandung.
Kehidupan dan cara hidup sekitar kawasan bandar di sekitar Kota Bandung juga telah
dipelajari mahasiswa melalui lawatan ke Karthikasari dan Braga Street. Majlis perpisahan di
Bandung telah berjaya dilaksanakan sebagai pelengkap minggu pertama program sebelum mahasiswa berangkat pulang ke Bogor untuk meneruskan lawatan serta aktiviti di Kebun
Raya Bogor.
Pada minggu kedua program, mahasiswa telah menghadiri seminar Design Thinking yang
dilaksanakan oleh pihak Fakultas Teknologi Pertanian Bogor selama tiga hari. Aktiviti secara
amali seperti pemprosesan teh juga dapat dirasai secara praktikal oleh mahasiswa. Di akhir
program, majlis penutup yang diadakan di auditorium CCR Fakultas Teknologi Pertanian
Bogor telah berjaya dilaksanakan dengan persembahan tarian dan peragaan pakaian
kebangsaan dari mahasiswa UPM sendiri sebagai tanda penghargaan terhadap pihak
penganjur. Semua mahasiswa UPM yang terlibat telah berangkat pulang pada 30 Julai 2023
dan tiba di perkarangan UPM semula dengan selamat.

Date of Input: 31/08/2024 | Updated: 31/08/2024 | sh_najiyah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia