29 September: Good Morning, Malaysia | Pusat Antarabangsa (i-PUTRA)
» BERITA » 29 September: Good Morning, Malaysia

29 September: Good Morning, Malaysia

 

SERDANG, 29 September - Pepatah Inggeris ada mengatakan, 'jangan menjadi pelancong, jadilah pengembara'. Apa yang membuat pelancong berbeza dari pengembara adalah pengalaman yang mereka hadapi. Bukan hanya melihat apa yang dibentangkan untuk dilihat oleh orang asing tetapi pengembara turut menyaksikan sisi negara yang biasa dan tidak dipromosikan. Sehubungan dengan itu, Buddies Association UPM dengan kerjasama i-Putra telah mengadakan program bernama Good Morning Malaysia! Program tersebut merupakan aktiviti yang membawa pelajar antarabangsa ke dalam norma tempatan. Ini dicapai melalui pembabitan dalam  aktiviti riadah yang dijalankan oleh rakyat Malaysia.

Program yang bermula jam 8.00 pagi ini dimulakan dengan menuju ke Pasar Tani di MAEPS, Serdang, di mana terdapat pelbagai produk tempatan menanti peserta. Di sini, peserta dapat melihat bentuk isi rumah di Malaysia. Daripada bahan masakan ke produk kecantikan, barang-barang yang dijual di pasaran ini membolehkan peserta melihat kebiasaan membeli-belah penduduk tempatan. Mereka juga mengambil kesempatan untuk membeli beberapa produk tempatan seperti buah-buahan. Mereka juga merasai beberapa jenis makanan dan minuman seperti Deram-deram dan minuman seperti Air Mata Kucing.

Seterusnya, mereka dibawa ke Gerai Pak Usop. Di sana, terdapat banyak makanan yang kebiasaannya dimakan oleh rakyat Malaysia sebagai sarapan pagi. Mereka dapat mencuba pelbagai variasi Roti Canai seperti Roti Kosong, Roti Pisang dan Roti Sardin. Mereka juga dapat merasa hidangan seperti Nasi Lemak dan Char Kuey Teow. Mereka sangat tertarik dengan perbezaan Lempeng di Malaysia dan Pancake daripada dunia Barat. Tidak dilupakan bahagian paling penting pada sarapan pagi Malaysia iaitu Teh Tarik. Membawa mereka ke gerai  sebegitu bukan sahaja membolehkan para pelajar menikmati keaslian sarapan Malaysia, tetapi gerai dengan dapur terbuka tersebut membolehkan mereka menyaksikan bagaimana makanan seperti Roti Canai dan Teh Tarik disediakan.

Selesai makan, mereka kembali ke i-Putra untuk sesi tayangan filem. Kali ini, filem Tale n Time oleh Allahyarham Yasmin Ahmad dipilih untuk dipertontonkan. Filem ini dipilih bukan sahaja berdasarkan pencapaiannya di Festival Filem Malaysia ke-22, di mana filem ini memenangi 4 anugerah termasuk Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Baharu Terbaik dan Anugerah Khas Juri, tetapi juga kerana ianya mewakili struktur masyarakat di Malaysia. Filem yang mengisahkan sekelompok pelajar sekolah yang mengikuti pertandingan Talentime sekolah mereka  ini diharapkan dapat membawa pengayaan kepada peserta tentang bagaimana masyarakat Malaysia berfungsi.

Acara berakhir jam 2.00 petang dengan semua peserta pulang dengan hati yang gembira. Buddies Association UPM dan i-Putra akan sentiasa berusaha untuk menyediakan aktiviti yang bermanfaat kepada pelajar di UPM.

Tarikh Input: 07/10/2018 | Kemaskini: 08/10/2018 | azlida_jamil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Antarabangsa (i-PUTRA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 7972
-
SXEZFAM~