31 Oktober 2019 : Pelajar Antarabangsa @ Sabah | Pusat Antarabangsa (i-PUTRA)
» BERITA » 31 Oktober 2019 : Pelajar Antarabangsa @ Sabah

31 Oktober 2019 : Pelajar Antarabangsa @ Sabah

KOTA KINABALU,SABAH, 31 Oktober 2019. Pusat Antarabangsa Putra (i-PUTRA), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan satu lawatan ke Kota Kinabalu, Sabah bermula 31 Oktober 2019 hingga 03 November 2019. Lawatan ini telah disertai oleh 4 orang pelajar antarabangsa dan 2 orang pegawai pengiring.

Objektif aktiviti ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar antarabangsa mengenali kehidupan etnik, suku kaum dan budaya di Borneo yang mempunyai keunikannya tersendiri. Lawatan ini juga bertujuan untuk mempromosikan Malaysia dan Sabah, khususnya kepada para pelancong luar.

Pada hari pertama, para peserta berkumpul di i-PUTRA sekitar jam 5.00 pagi untuk bergerak terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama pegawai pengiring. Penerbangan yang mengambil masa selama 2 jam 30 minit ternyata berbaloi apabila melihat keindahan waktu pagi di Sabah dari atas.

Seusai tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah para peserta disajikan dengan keindahan dan keunikan di sekitarnya hingga ke Ranau.  Aktiviti dimulakan dengan menikmati makan tengahari yang enak dan selepas itu ke rumah terbalik, kemudian peserta bergerak ke jambatan gantung Tamparuli serta membeli belah di pasar Nabalu dan pasar petani. Tidak sah apabila sampai ke Sabah dan tidak menikmati makanan laut. Sebelum pulang ke hotel di Kundasang, para peserta dihidangkan dengan pelbagai makanan laut dari udang galah, sotong, kerang dan ikan bakar yang enak dan lazat.

 

    

Pada hari kedua, aktiviti diteruskan lagi dengan para peserta menuju ke ladang tenusu Lembu, fish massage, hot spring (canopy walk), Taman Negara Kinabalu dan bergerak terus ke bandar Kota Kinabalu. Pada hari ketiga, aktiviti yang dijalankan hanya di pulau sahaja di mana peserta ke Pulau Manukan untuk menjalankan aktivti snorkelling dan bermandi-manda. Selepas tamat aktiviti ini, para peserta pulang ke hotel untuk berehat.

Pada hari terakhir, para pelajar bergerak ke Menara Tun Mustapha (Sabah Foundation Building), masjid terapung, signal hill, muzium Sabah, dan sebelum pulang ke Kuala Lumpur peserta dibawa ke butik Koko untuk membeli cenderahati sebelum ke Lapangan Terbang.

Salah seorang pelajar mobiliti Keita Isago dari Jepun, berkata ini merupakan pengalaman yang sangat berharga dan susah untuk dilupakan kerana Borneo mempunyai keunikan tersendiri dan sangat sesuai untuk bawa keluarga ke sini.  

"Aktiviti ini membuatkan saya begitu teruja melihat keindahan Sabah dengan begitu dekat, melihat Gunung Kinabalu sangat memberi seribu satu makna kepada saya untuk menjejakkan kaki ke sini lagi dan berharap satu hari nanti dapat datang ke sini bersama keluarga," katanya.

Aktiviti di Sabah berakhir pada malam 03 November 2019 dan para pelajar berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk menaiki pesawat ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2.  Aktiviti yang berlangsung sepanjang 4 hari ini diharapkan memberi satu pengalaman yang sangat bermakna kepada pelajar dan akan menjadi memori terindah mereka apabila pulang ke negara asal nanti.

    

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 26/11/2019 | Kemaskini: 26/11/2019 | sitiafiqah

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Antarabangsa (i-PUTRA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 7972
-
SXDdJAi~