23 September 2019 : Malay Language And Culture Exploration Programme | PUTRA International Centre (i-PUTRA)
» NEWS » 23 September 2019 : Malay Language and Culture Exploration Programme

23 September 2019 : Malay Language and Culture Exploration Programme

Pusat Antarabangsa (i-PUTRA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan telah menganjurkan Program “Malay Language and Culture Exploration Programme” bermula pada 23 September 2019 hingga 6 Oktober 2019.

Program Explorasi Bahasa dan Budaya Melayu (Malay Language and Culture Exploration Programme) merupakan pilot programme yang mengandungi 9 topik telah ditawarkan kepada pelajar mobiliti semester 1 2019/2020 bagi mempelajari bahasa dan budaya Melayu yang menggunakan pendekatan kepelbagaian aktiviti lapangan dan pengalaman sebenar. Program ini telah dilaksanakan berdasarkan kurikulum pembelajaran mengikut kerangka standard bahasa Melayu yang berorientasikan pembelajaran berpusatkan pelajar. Melalui program ini peserta berpeluang mempelajari asas komunikasi, membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu secara kontekstual. Selain itu, peserta turut didedahkan dengan aktiviti silang budaya iaitu lawatan lapangan ke destinasi tertentu bagi mengukuhkan pembelajaran bahasa dan memperoleh pengalaman sebenar terhadap persekitaran dan budaya tempatan. Seramai 24 pelajar antarabangsa (mobiliti) telah menyertai program kali ini.

 

Pada hari pertama pembelajaran, pelajar telah mengikuti topik 1 iaitu sapaan, ucapan dan pengenalan diri. Melalui topik ini, membolehkan pelajar menyebut perkataan tertentu  bagi menyapa, membuat ucapan selamat dan memperkenalkan diri. Pada akhir aktiviti pelajar dapat menyebut beberapa perkataan dan frasa mudah untuk membuat sapaan dan memperkenalkan diri, menggunakan perkataan dan ayat mudah bagi membuat ucapan selamat dan bertanya dan menjawab soalan dengan mudah berkaitan sapaan, ucapan dan memperkenalkan diri.

Melalui topik 2 pula pelajar telah diberi pendedahan berkaitan mengenal diri dan anggota badan. Objektif topik ini adalah bagi membolehkan peserta mengenali dan menamakan anggota badan serta menerangkan fungsinya dalam Bahasa Melayu.

Seterusnya topik 3 pelajar mempelajari berkaitan keluarga dan rakan. Melalui topik ini membolehkan pelajar menamakan dan menceritakan tentang ahli keluarga masing masing dengan menggunakan ayat mudah dalam pelbagai situasi lazim berkaitan hal ehwal keluarga dan rakan-rakan. 

 

Pelajar juga mempelajari berkaitan hari dan masa pada topik 4. Mereka diberi pendedahan untuk mengetahui dan menyebut masa dan hari  dan berinteraksi dengan menggunakan ayat mudah dalam pelbagai situasi lazim berkaitan masa dan hari dengan menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

Seterusnya pada topik 5 pelajar mempelajari berkaitan matawang, makanan tempatan dan lawatan ke restoran. Semua pelajar telah diberi penerangan asas berkaitan mata wang Malaysia, makanan tempatan dan berinteraksi dengan menggunakan ayat mudah dalam pelbagai situasi lazim berkaitan pembelian barangan, keperluan asas atau makanan tempatan. Pelajar juga telah dibawa ke restoran berhampiran untuk membuat pesanan makanan serta mencuba makanan tempatan dengan menggunakan mata wang untuk tujuan pembayaran sebagai latihan praktikal.

  

 

Program diteruskan dengan topik 6 iaitu berkaitan buah-buahan tempatan. Dalam topik ini pelajar telah didedahkan beberapa jenis buah tempatan seperti ciku, buah naga, duku langsat dan mata kucing. Pelajar juga diberi peluang untuk mencuba buah-buahan tersebut.

 

Dalam topik 7 pula pelajar diberi pendedahan berkaitan pakaian dan permainan tradisional. Mereka diberi peluang mencuba pakaian tradisi Malaysia seperti baju melayu, kebaya, baju kurung, sari. jubah dan batik. Pelajar juga didedahkan berkaitan permainan congkak, dam haji, batu seremban dan pemainan lidi. Mereka sangat teruja mempelajari topik ini.

 

Melalui topik 8 pula pelajar diberi penerangan berkaitan tempat rekreasi di Malaysia. Mereka sangat teruja dapat mengenali beberapa tempat yang menarik untuk dilawati seperti Melaka, Cameron Highland, Pulau Redang, Genting Highland, Batu Caves, Putrajaya dan lain-lain. Seterusnya pada topik terakhir iaitu topik 9 pelajar telah mengikuti pengalaman silang budaya. Pada topik ini pelajar telah dibawa ke perkampungan di Temerloh untuk mengenali kebudayaan masyarakat Melayu dalam kehidupan seharian, merasai pengalaman sebenar berada di perkampungan masyarakat Melayu dan mengamalkan cara hidup orang Melayu.

Pelajar telah dibawa ke Pasar Sehari di Pekan Temerloh bagi merasai pengalaman mengenal dan mencuba pelbagai makanan yang dijual. Mereka juga telah mengaplikasikan semua yang telah dipelajari seperti penggunaan mata wang, komunikasi semasa urusan jual beli, bertanya berkaitan produk yang dijual dan sebagainya.

Seterusnya pelajar di bawa ke Laman Sakinah iaitu sebuah teratak di sebuah perkampungan Melayu untuk melakukan aktiviti seperti menganyam ketupat, menoreh getah dan mengait kelapa sawit. Mereka juga telah dijamu dengan makanan Melayu seperti Patin Tempoyak, Patin Goreng, Sayur Campur, Sambal Goreng Jawa, Mee Hoon Soto dan buah-buahan tempatan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 05/11/2019 | Updated: 06/11/2019 | sitiafiqah

MEDIA SHARING

PUTRA International Centre (i-PUTRA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 7972
-
SXDTSA0~