Lawatan Penandaarasan Daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) | PUTRA International Centre (i-PUTRA)
» NEWS » Lawatan Penandaarasan daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Lawatan Penandaarasan daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

SERDANG, 27 Februari – Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA) telah menerima kunjungan lawatan daripada Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Delegasi daripada UTeM diketuai oleh Dr. Mohd Nur Azmi bin Nordin, Timbalan Pengarah Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti, UTeM. Turut serta dalam lawatan ini ialah Encik Mohamad Fairuz bin Norman, Penolong Pendaftar Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti, Encik Mohd Azlan Hafiz bin Mohd Roslan, Pembantu Tadbir Kanan Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti, dan Encik Mohd Faiz bin Zulkifli, Pembantu Tadbir Kanan Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti.

Lawatan penandaarasan ini bertujuan untuk memberi pendedahan, pengetahuan serta perkongsian ilmu kepada staf-staf dalam melaksanakan tugasan dengan lebih cemerlang serta efektif terutamanya dalam aspek pengurusan pelajar antarabangsa. Antara lain, lawatan ini juga bertujuan untuk membolehkan pihak pengurusan Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti, UTeM mempelajari dengan lebih mendalam mengenai amalan terbaik (best practices) dalam aspek pengurusan kaunter dan pengurusan visa dan pas pelajar antarabangsa.

Profesor Madya Dr. Syazwani Idrus, Timbalan Pengarah i-PUTRA telah mempengerusikan sesi lawatan ini dan amat berbesar hati atas kesudian Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti, UTeM datang ke i-PUTRA. Lawatan ini dimulakan dengan sesi penerangan mengenai struktur dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh i-PUTRA. Sesi ini diteruskan lagi dengan penerangan mengenai sistem Putra Q iaitu sistem yang diguna pakai di i-PUTRA dalam pengurusan visa dan pas pelajar antarabangsa. Sesi penerangan ini telah diberikan oleh Encik Abdul Razif Abdul Razak, Penolong Pendaftar Kanan i-PUTRA. Selain itu, delegasi ini turut dibawa meninjau ke kaunter perkhidmatan visa dan pas i-PUTRA.

Semasa sesi ini berlangsung, kedua-dua pihak turut bertukar buah fikiran tentang pelaksanaan program mobiliti di kedua-dua institusi. Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai program mobiliti edutourism. Sesi lawatan ini tamat sekitar jam 5:40 petang. Diharapkan agar perkongsian ini memberi manfaat dan kebaikan kepada kedua-dua pihak.

 

      

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 29/02/2024 | Updated: 29/02/2024 | sh_najiyah

MEDIA SHARING

PUTRA International Centre (i-PUTRA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 7972
-
SXEbTAY~