Congkak, Permainan Tradisi Melayu | Pusat Antarabangsa (i-PUTRA)
» ARTIKEL » Congkak, Permainan Tradisi Melayu

Congkak, Permainan Tradisi Melayu

Congkak ialah sejenis permainan tradisional Melayu yang sering dimainkan sebagai aktiviti dalaman atau sebagai pertandingan. Selalunya, ia menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan kebiasaannya buah Congkak menggunakan biji getah atau guli.

Di Asia Tenggara, Congkak mungkin berkembang dari Melaka memandangkan negeri ini merupakan pusat perdagangan pada waktu dahulu. Nama "Congkak" dipercayai berasal dari perkataan Bahasa Melayu "congak" yang bermaksud pengiraan mental. Selain orang Melayu, keturunan peranakan India dan Baba Melaka turut meminati permainan Congkak. Di Kepulauan Caribbean Congkak dikenali sebagai Warri atau Awari. Di Indonesia, Congkak dikenali dengan nama Congklak, manakala di Filipina, Sungka.

Dalam permainan Congkak, terdapat dua bahan iaitu Papan Congkak dan Buah Congkak. Papan Congkak berbentuk sampan dan boleh diperbuat daripada pelbagai jenis kayu dan terdapat lima atau tujuh lubang sebaris yang dikenali sebagai 'kampung' dan di kedua-dua hujungnya terdapat lubang ibu yang dikenali sebagai 'rumah'. Panjang papan congkak tujuh lubang biasanya sekitar 80 cm dan lebarnya 18 cm

Dalam permainan ini, pemain akan memulakan permainan dengan serentak. Mereka akan mengambil buah Congkak dan dimasukkan secara satu persatu buah Congkak ke dalam setiap 'kampung' menuju ke rumah masing-masing menurut arah pusingan jam, sehingga salah seorang berhenti di lubang yang kosong dan dianggap mati. 'Rumah' kepunyaan sendiri terletak di lubang hujung sebelah kiri pemain. Pemain yang seorang lagi akan terus berjalan sehingga dia berhenti di lubang yang kosong. Dan selepas itu, setiap pemain akan bergilir berjalan sehingga buahnya mati. Setiap pemain akan meneruskan permainan sehingga kehabisan buah Congkak, dan pemain akan mengisi lubang dengan buah yang terdapat dalam lubang ibu. Pemain yang tidak cukup buah akan ditutup lubangnya, dan pemain yang menang dalam giliran sebelumnya akan memulakan permainan. Permainan ini akan diulang sehingga salah seorang pemain tidak cukup buah bagi mengisi walau satu lubang sekalipun dan dianggap kalah.

Tarikh Input: 26/09/2018 | Kemaskini: 06/07/2020 | azlida_jamil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Antarabangsa (i-PUTRA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 7972
-
SXETTAe~