I-PUTRA Sambut Delegasi Ningxia Normal University | Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA)
» ARTIKEL » i-PUTRA Sambut Delegasi Ningxia Normal University

i-PUTRA Sambut Delegasi Ningxia Normal University

SERDANG, 7 Julai 2026 – Pusat Antarabangsa Putra (i-PUTRA), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi pengurusan tertinggi Ningxia Normal University, China. Pertemuan yang berlangsung di Bilik Morocco, i-PUTRA ini menjadi platform dinamik dalam meneroka peluang akademik baharu, sekali gus menyaksikan upacara menandatangani Letter of Intent (LoI) serta sesi pertukaran cenderamata sebagai tanda jalinan kerjasama rasmi.

Sesi perbincangan strategik ini diketuai oleh PLC Gs. Ts. Dr. Mohammad Mujaheed Hassan, Timbalan Pengarah (Hubungan Antarabangsa) i-PUTRA, bersama-sama barisan Dekan dan Ketua Jabatan daripada beberapa fakulti UPM. Manakala, delegasi Ningxia Normal University diketuai sendiri oleh Presidennya, Prof. Dr. Liu Shiwei, dengan diiringi oleh barisan pegawai akademik kanan universiti tersebut.

Sesi dimulakan dengan pengenalan ringkas dari kedua-dua universiti. Dalam ucapan beliau, Presiden Prof. Dr. Liu Shiwei menzahirkan penghargaan yang tinggi dan berkongsi bahawa kini seramai 14 orang pelajar dari Ningxia juga sedang menjalankan program mobiliti sebagai pembantu penyelidik di UPM.

Berdasarkan asas kukuh ini, kedua-dua pihak komited untuk menstrukturkan kerjasama yang lebih menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada bidang akademik seperti Humanities, Kecerdasan Buatan (AI), dan Sains Data (Data Science). Bagi inisiatif teras, fokus akan diberikan kepada memperkasakan mobiliti pelajar, mewujudkan kerangka kerja pemindahan kredit yang sistematik, serta melaksanakan program pertukaran tenaga pengajar (teaching exchange). Di samping itu, kolaborasi ini turut memperkukuh aspek penyelidikan dan sumber melalui penerbitan bersama (joint publication), penubuhan pasukan penyelidik berkembar, serta perkongsian sumber pendidikan berkualiti tinggi dan kepakaran sedia ada.

Bagi menterjemahkan hasrat tersebut kepada tindakan rasmi, kedua-dua universiti telah menandatangani Letter of Intent (LoI) semasa mesyuarat berlangsung. Sejurus selepas itu, majlis diteruskan dengan sesi pertukaran cenderamata yang melambangkan keakraban, rasa hormat yang tinggi, serta komitmen bersama dalam memajukan sektor pendidikan tinggi.

Bagi memastikan pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) dapat dirangka dengan lancar dalam masa terdekat, Fakulti Kejuruteraan telah dipilih secara rasmi sebagai fakulti peneraju (anchor faculty) untuk mengetuai dan menguruskan portfolio kerjasama antara UPM dan Ningxia Normal University.

Pertemuan bersejarah ini menjadi satu lagi pencapaian bermakna dalam usaha pengantarabangsaan UPM, sekali gus memperkukuh ekosistem akademik global yang melangkaui sempadan.

Tarikh Input: 09/07/2026 | Kemaskini: 09/07/2026 | amirfaris

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 3510
-
X, (05:25:52am-05:30:52am, 10 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]