Disediakan oleh: Aina Adriana Binti Muhammad Sharafi & Nuha Shahira Binti Sahrul Haslan
Program: Program Mobiliti dan Khidmat Komuniti Islam Vietnam 2023
Program Mobiliti dan Khidmat Komuniti Islam Vietnam 2023 terdiri daripada 23 orang pelajar
Universiti Putra Malaysia (UPM) dan berdestinasikan di bandar Ho Chi Minh serta Tay Ninh,
Vietnam. Program ini khususnya bagi para pelajar yang mengambil kursus DCE3207
Kesukarelawanan (Volunteerism). Tambahan pula, 23 orang pelajar yang dapat menyertai
program ke Vietnam merupakan pelajar tahun tiga daripada program Bacelor Sains Pembangunan
Sumber Manusia dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia
(UPM) manakala seramai 9 orang pelajar yang terdiri daripada tahun satu dan tahun 2 daripada
Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia juga tidak dapat menyertai program ini secara
fizikal dan perlu melaksanakan sambungan program mobiliti ini secara atas talian. Program telah
bermula pada 18 Julai 2023, bertolaknya para pelajar ke Vietnam dari Malaysia dan tamat pada 1
Ogos 2023. Objektif utama Program Mobiliti dan Khidmat Komuniti Islam Vietnam 2023 ini
adalah pertukaran budaya dan sukarelawan terutamanya di negara luar, Vietnam dengan negara
Malaysia. Selain itu, memupuk mahasiswa serta mahasiswi dalam membina keyakinan diri dan
kemahiran komunikasi yang lebih efektif dan cekap.
Program mobiliti ini disertai oleh beberapa orang pensyarah daripada Jabatan Pemajuan
Profesional dan Pendidikan Lanjutan (JPPPL) dan turut membantu dari awal sehingga hujung
program. Terima kasih juga kepada Prof. Madya Dr. Siti Raba’ah Hamzah di atas sokongan yang
tidak berbelah bahagi bagi menjayakan program mobiliti ini. Tidak dilupakan juga pada pensyarah
kursus serta penasihat kami iaitu Dr. Siti Nur Syuhada Musa dan pemantau kami, Prof. Dr. Roziah
Mohd Rasdi yang banyak membantu sejak dari awal perancangan program sehinggalah ke penghujung program. Tambahan pula, mereka merupakan pegawai pemantau sepanjang program
berlangsung di Vietnam. Berkat bantuan dan kesabaran mereka, program mobiliti ini telah
menjadikan perjalanan kami lancar dan sangat menarik.
Pada hari kedua program iaitu pada 19 Julai 2023, kami sebagai peserta program telah tiba
di lokasi pertama iaitu Gamuda Land yang bertempat di bandar Ho Chi Minh, Vietnam dan telah
disambut oleh Mr. Ngan Chee Meng, Pengarah Eksekutif Gamuda Land tersebut. Kami diberikan
penerangan tentang kewujudan syarikat Gamuda Land, infrastruktur yang dibangunkan dan
kemudahan yang disediakan kepada para pekerja dan pelanggan mereka malah turut
memaklumkan bahawa syarikat itu menggunakan tenaga solar sepenuhnya. Selain daripada itu,
mereka juga memberi lawatan ke tempat-tempat infrastruktur yang telah dibangunkan seperti
gelanggang badminton, bola keranjang, futsal dan kolam renang.
Seterusnya, kami bergerak untuk ke lokasi kedua iaitu Madrasah Darussalam di Tay Ninh,
Vietnam dan disambut mesra oleh Ustaz Abdul Rahman, pengetua madrasah tersebut. Setelah itu,
kami meneruskan program dengan mengangkat barang-barang sumbangan daripada bas untuk
diberikan kepada Madrasah Darussalam. Terdapat beberapa aktiviti telah dijalankan bersama para
pelajar Madrasah Darussalam yang mana antaranya adalah sesi ice breaking dan hand clap.
Seramai 120 orang pelajar lelaki dan 68 orang pelajar perempuan di Madrasah Darussalam itu.
Mereka telah menyambut kami dengan penuh semangat dan menerima kami dengan tangan yang
terbuka.
Pada hari ketiga program iaitu pada 20 Julai 2023, kami meneruskan program dengan
melaksanakan beberapa aktiviti utama di Madrasah Darussalam itu semula. Aktiviti pertama adalah sesi pemberian barangan sumbangan daripada pihak UPM kepada pihak Madrasah
Darussalam. Antara barangan sumbangan yang diberikan adalah pakaian, rempah serta serbuk
makanan, dan vakum bagi memudahkan pembersihan di madrasah itu. Selain itu, aktiviti yang
seterusnya adalah sesi penyembelihan lembu bersama beberapa orang ustaz daripada madrasah itu,
penduduk kampung, pelajar madrasah serta pelajar lelaki daripada pihak UPM. Hasil
penyembelihan lembu tersebut akan dimasak sebagai lauk tengah hari untuk dimakan bersama.
Seterusnya adalah aktiviti pembersihan asrama perempuan serta masjid. Beberapa orang pelajar
perempuan daripada pihak UPM bersama-sama dengan pelajar perempuan madrasah
membersihkan asrama mereka. Kami juga memberikan penerangan ringkas mengenai cara
penjagaan diri yang betul serta cara pembersihan yang betul. Aktiviti yang lain pula adalah
memasak yang mana beberapa orang pelajar daripada pihak UPM telah ditugaskan untuk
menyediakan bahan-bahan masakan bagi memasak lembu yang telah disembelih tersebut. Semua
aktiviti tersebut memberikan impak dan kesan yang positif kepada pihak UPM serta pihak
Madrasah Darussalam yang mana hubungan antara pelajar-pelajar menjadi lebih rapat dan dapat
mengenali antara satu sama lain.
Selepas itu, kami diberi peluang untuk memberi sumbangan kepada penduduk-penduduk
kampung di Madrasah Nurul Hidayah berdekatan Kampung Nurul Iman di Tay Ninh. Pemberian
sumbangan seperti beras, garam, gula, mi segera kepada penduduk kampung di situ. Sebanyak 70
orang yang layak diberi sumbangan. Mereka yang mendapat sumbangan mempunyai kupon yang
khas sebagai bukti mereka layak untuk menerima sumbangan. Melalui aktiviti pemberian
sumbangan ini, kami dapat mempelajari erti syukur dan empati terhadap golongan yang kurang
bernasib baik. Kami juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri seperti tolong-menolong,
kasih sayang serta ikhlas.
Pada keesokan harinya, kami juga berpeluang untuk melawat kawasan-kawasan yang
menarik di Vietnam iaitu Mekong River. Aktiviti ini merupakan aktiviti yang dijalankan untuk
mengenali dengan lebih mendalam tentang budaya di Vietnam sambil menikmati keindahan dan
pemandangan di Vietnam. Kami disambut mesra oleh seorang pemandu pelancong di Mekong
River yang bernama Encik Thanh. kami melakukan beberapa aktiviti yang menarik dan dapat menambah pengetahuan baru mengenai budaya masyarakat di Vietnam. Antaranya, kami melawat
“Coconut House” yang diperbuat daripada kayu pokok kelapa. Objektif aktiviti ini adalah untuk
mengenali kesenian dan budaya negara Vietnam yang mana tidak sama dengan negara kita di
Malaysia. Ini merupakan peluang dan ilmu pengetahuan yang dapat dirasai sendiri oleh para
pelajar UPM secara realistik.
Akhir sekali, pada hari terakhir di Vietnam, kami pergi ke Education Malaysia untuk
melawat kawasan tersebut dan telah disambut oleh Ms. Ninh dan Mr. Kim yang mana merupakan
wakil daripada pihak Education Malaysia dan Vietnam Sales & Engineering Institute (VSE). Pihak
mereka menerangkan serba sedikit mengenai Education Malaysia dan VSE Institute khususnya
mengenai sistem pembelajaran dan pendidikan mereka dalam bidang kejuruteraan. Kami telah
dimaklumkan dan diberi penerangan mengenai kursus-kursus serta sistem pendidikan mereka
melalui perkongsian antara pelajar-pelajar VSE bersama pelajar-pelajar UPM. Tambahan pula,
pihak UPM juga menghantar seorang wakil iaitu Aina Syathirah, pelajar tahun tiga Bacelor Sains
Pembangunan Sumber Manusia untuk memberikan penerangan serta pendedahan mengenai
Universiti Putra Malaysia dan program kursus kami. Menerusi program ini, kami dapat bertukar
maklumat dan informasi mengenai budaya, pendidikan, serta idea dalam meningkatkan lagi
kemahiran serta ilmu pengetahuan dalam diri masing-masing.
Kesimpulannya, sepanjang keberadaan di Vietnam, kami merasakan bahawa masyarakat
di sana lebih mesra dan ramah terhadap tetamu yang hadir. Kami mendapat layanan yang baik dan merasakan keakraban bersama pelajar-pelajar Madrasah Darussalam dan Vietnam Sales &
Engineering Institute (VSE) yang banyak meluangkan masa bersama kami. Mereka sentiasa
bersemangat dalam berkomunikasi dengan kami walaupun terdapat halangan dari segi bahasa yang
digunakan. Secara amnya, sesetengah penduduk di Vietnam boleh berbahasa Melayu dan English.
Hal ini serba sedikit memudahkan komunikasi dua hala bersama mereka tanpa terlalu berharap
pada juru bahasa. Kesemua makanan yang kami cuba sangat sedap daripada hari pertama kami
tiba di Vietnam sehinggalah hari terakhir kami di sana.
Sebaik sahaja pulang ke Malaysia, program mobiliti ini diteruskan lagi dan dijalankan
secara atas talian selama 9 hari. Pelbagai aktiviti, slot perkongsian dan perbincangan yang menarik
dijalankan antara pelajar UPM dan juga pihak VSE. Antara aktiviti yang dijalankan ialah
perbincangan antara wakil UPM dan VSE berkenaan hala tuju program mobiliti secara atas talian,
slot Introducing VSE Institute dan Slot Introducing Vietnam yang disampaikan oleh wakil pihak
VSE Institute kepada pelajar UPM. Program diteruskan lagi dengan slot perkongsian budaya
daripada Malaysia yang disampaikan oleh pelajar UPM dan perkongsian budaya daripada Vietnam
yang disampaikan oleh pihak VSE. Di dalam slot tersebut, telah dikongsikan berkenaan budaya
dari segi permainan dan pakaian tradisional, makanan dan lain-lain lagi. Seterusnya, dijalankan
sesi perbincangan secara dua hala mengenai topik yang menarik pada masa kini iaitu Volunteering
as a pathway of personal growth dan How to manage stress untuk mendapatkan pertukaran
pendapat dan buah fikiran daripada dua negara mengenai topik tersebut. Selain itu, terdapat slot
perkongsian daripada wakil pensyarah UPM iaitu Prof Madya Dr. Siti Rabaah Hamzah berkenaan
pengalaman - pengalaman beliau dalam menjalankan kegiatan sukarelawan di luar negara dan
akhir sekali diadakan majlis penutupan bagi program mobiliti dan khidmat komuniti Islam
Vietnam 2023 ini. Akhir kata, program ini banyak mengajar kami tentang betapa pentingnya mempelajari budaya negara lain, hormat-menghormati sesama negara serta bersyukur dalam
semua perkara yang kita lakukan.


Tarikh Input: 29/07/2024 | Kemaskini: 31/08/2024 | sh_najiyah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia