
Sebagai sebahagian daripada Program Mobiliti Outbound Universiti Awam 2025, sekumpulan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai program mobiliti antarabangsa selama dua minggu di Vietnam yang dijalankan secara fizikal dan dalam talian. Program ini telah dianjurkan oleh Van Lang University (VLU) dan Ho Chi Minh University of Education (HCMUE), dengan pelaksanaan fizikal bermula dari 4 hingga 10 Mei 2025 di Bandar Ho Chi Minh, diikuti oleh sesi dalam talian dari 19 hingga 25 Mei 2025. Pengisian program merangkumi pertukaran akademik, lawatan budaya dan aktiviti khidmat masyarakat yang bertujuan memperluas perspektif global serta memperkukuh hubungan rentas budaya.
Setibanya di Vietnam, para peserta dibawa ke tempat penginapan dan diberi taklimat ringkas mengenai atur cara serta jangkaan sepanjang program. Hari pertama diluangkan dengan aktiviti ringan bagi membolehkan peserta menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan rentak kehidupan tempatan.

Pelajar yang bertindak sebagai penyelaras aktiviti pada hari pertama memperoleh pendedahan langsung terhadap kepentingan perancangan awal, pengurusan masa, serta kerjasama rapat bersama jawatankuasa dan penganjur. Pengalaman ini membina asas yang kukuh bagi kelancaran aktiviti sepanjang minggu.
Hari kedua dimulakan dengan lawatan ke Bitexco Financial Tower, salah satu mercu tanda utama di Bandar Ho Chi Minh yang melambangkan kemajuan ekonomi dan seni bina kontemporari Vietnam. Peserta turut berkunjung ke Café Apartment, sebuah blok kediaman lama yang telah ditukar menjadi deretan kafe tempatan yang kreatif. Lawatan ini memberikan gambaran jelas tentang bagaimana ruang bandar dapat diubah suai secara inovatif bagi menyokong keusahawanan dan ekspresi seni.
Di Tugu Ho Chi Minh, peserta diberi peluang untuk memahami dengan lebih mendalam tentang legasi pemimpin ikonik ini serta bagaimana identiti kebangsaan diabadikan dalam ruang awam. Pada sebelah malam, peserta melawat Crescent Lake dan Starlight Bridge, dua kawasan rekreasi yang memperlihatkan bagaimana perancangan bandar dapat menggabungkan elemen estetik, fungsi dan riadah dalam satu ruang bandar moden.
Keesokan paginya, peserta mengunjungi Saigon Psychub, sebuah pusat kesihatan mental yang terkenal dengan pendekatan holistik. Dalam sesi bertajuk “Psychology Perspectives: An Interactive Dialogue of Saigon Psychub”, Encik Hong An Nguyen berkongsi model terapi yang diamalkan di Vietnam, termasuk penjagaan berasaskan komuniti dan kepekaan budaya dalam kaunseling. Lawatan ke kemudahan pusat ini turut disertakan dengan sesi perbincangan mengenai perbandingan pendekatan psikologi antara Malaysia dan Vietnam.
Pada sebelah petang, peserta meneruskan aktiviti dengan lawatan ke Saigon Zoo and Botanical Gardens. Dalam suasana santai dikelilingi kehijauan dan fauna eksotik, pelajar berpeluang untuk berinteraksi secara tidak formal sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Seterusnya, peserta mengadakan lawatan akademik dan budaya ke Ho Chi Minh City University of Education (HCMUE). Mereka disambut mesra dengan persembahan kebudayaan dan seterusnya menyertai forum bertajuk “Celebrating Diversity, Strengthening Unity: Malaysian–Vietnamese Perspectives.” Perbincangan dan aktiviti berkumpulan membolehkan pelajar bertukar pandangan tentang identiti budaya serta kepelbagaian dalam pendidikan. Lawatan sekitar kampus memberi peluang kepada peserta untuk memahami rutin harian dan persekitaran pembelajaran pelajar tempatan sebelum majlis penutup diadakan secara sederhana namun bermakna.
Sepanjang sesi ini, peserta menyedari bahawa perbezaan budaya bukanlah penghalang, sebaliknya merupakan peluang untuk saling memahami dan membina hubungan yang lebih mendalam. Interaksi bersama pelajar HCMUE memperkukuh nilai empati, keterbukaan dan saling menghormati.
Pada sebelah petang, rombongan melawat Touching Soul Center di mana pengasasnya, Dr. Nhat Nguyen, memberi penerangan tentang misi dan kemudahan pusat tersebut. Seterusnya, di Tami Coffee & Chay, beliau mengendalikan sesi perbincangan berkaitan amalan psikologi di Vietnam termasuk pendekatan tingkah laku, humanistik dan kognitif. Dr. Nguyen turut menekankan bagaimana pengetahuan psikologi boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam mengurus emosi, tekanan serta membina hubungan interpersonal. Perkongsian ini mencetuskan perbincangan reflektif dan soalan yang bermakna dalam kalangan peserta.
Pada malam hari yang sama, peserta melawat Muzium Seni Halus untuk meneliti karya seni dan artifak sejarah yang mencerminkan budaya, rohani dan sejarah konflik Vietnam. Lukisan dan arca yang dipamerkan menggambarkan kehidupan luar bandar serta perjuangan rakyat, memperlihatkan seni visual sebagai medium untuk mewarisi memori, emosi dan nilai budaya merentas generasi.

Keesokan harinya, rombongan meneruskan aktiviti khidmat komuniti di Madrasah An-Nur. Sambutan mesra daripada kakitangan dan pelajar tempatan menandakan permulaan aktiviti gotong-royong serta sesi seni kreatif bertajuk ‘Seni Emosi’ bersama lebih 70 pelajar. Melalui lukisan dan warna, kanak-kanak ini mengekspresikan emosi seperti gembira, sedih dan marah. Walaupun terdapat kekangan bahasa, komunikasi tetap lancar menggunakan gerak isyarat dan aplikasi penerjemah. Sebelum beredar, peserta menyumbangkan alat tulis kepada pelajar dan menyerahkan cenderamata kepada pihak madrasah.
Pengalaman ini memperkukuh kesedaran budaya, semangat kerja berpasukan dan empati menerusi penglibatan secara langsung bersama komuniti setempat. Bagi pelajar madrasah, sesi ini membawa keceriaan dan dorongan moral. Bagi kami, ia mengingatkan bahawa pembelajaran global perlu disertai dengan nilai rendah hati dan perkhidmatan.
Hari berikutnya, rombongan ke Van Lang University untuk menyertai sesi akademik bertajuk “Empowering Minds: Knowledge Exchange” yang dikendalikan oleh pelajar. Kuiz bertemakan psikologi mencetuskan perbincangan menarik, manakala hidangan tradisional Vietnam seperti Bánh Ít menambah dimensi budaya dalam pertukaran ilmu tersebut. Sesi ini memperlihatkan kepelbagaian pendekatan pembelajaran dan membuka ruang interaksi akademik rentas budaya secara konstruktif.
Pada sebelah petang, peserta mengunjungi Muzium Peninggalan Perang yang memaparkan realiti sejarah konflik di Vietnam. Pameran yang ditampilkan mengundang renungan mendalam terhadap kesan emosi dan psikologi peperangan. Ramai peserta pulang dengan penghargaan baharu terhadap keamanan dan kekaguman terhadap ketabahan rakyat Vietnam.
Pada pagi terakhir, peserta bersiap dan berangkat ke lapangan terbang, menandakan penutupan rasmi bagi fasa fizikal program ini.
Pengalaman diteruskan secara maya dari 19 hingga 25 Mei 2025, memberi ruang kepada peserta untuk menyambung hubungan bersama rakan dari Van Lang University melalui sesi perbincangan dalam talian. Forum seperti “Cross-Cultural: Malaysia & Vietnam” dan “Celebrating Diversity, Strengthening Unity” memberi tumpuan kepada pengaruh budaya dalam kehidupan harian dan pembelajaran, di samping melatih keyakinan pelajar untuk bercakap dalam suasana antarabangsa.
Game Night pula menyerikan suasana dengan tayangan filem Malaysia dan kuiz interaktif yang memperkenalkan budaya tempatan kepada pelajar VLU dengan cara yang menyeronokkan. Pada masa yang sama, pelajar UPM turut diasah untuk menyampaikan kandungan budaya secara kreatif dan menarik.
Sesi penutup bertemakan “Cultural and Language Exchange” serta “Reflect & Speak Up” memberi peluang kepada pelajar untuk berkongsi pengalaman peribadi, berperanan sebagai ‘duta bahasa’ tidak rasmi, dan mengimbas kembali nilai-nilai yang diperoleh sepanjang program. Momen akhir ini menutup program dengan semangat keterbukaan dan saling menghargai, yang merupakan nilai-nilai yang sentiasa dihayati sepanjang dua minggu program ini berlangsung.
Tarikh Input: 22/05/2025 | Kemaskini: 31/07/2025 | nurulshabila

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia