Audit Penilaian Kendiri EKSA Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA) | Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA)
» BERITA » Audit Penilaian Kendiri EKSA Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA)

Audit Penilaian Kendiri EKSA Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA)

SERDANG, 30 Julai - Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA) telah melaksanakan audit penilaian kendiri Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) kali kedua bagi tujuan penyertaan Anugerah Kualiti Persekitaran Tempat Kerja sempena Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan (HKIP) 2024. Puan Shamriza Shari dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) dan Encik Zamre Yaacob dari Fakulti Ekologi Manusia bertindak sebagai juruaudit bagi penilaian kali kedua ini.

Sesi penilaian dimulakan dengan kata aluan dan pembukaan daripada Prof. Madya Dr. Che Azurahanim Che Abdullah, Timbalan Pengarah i-PUTRA. Sesi kemudiannya diteruskan dengan pembentangan aktiviti EKSA di i-PUTRA sepanjang tahun 2023 dan 2024 oleh Encik Muhammad Syafiq Farhan Boo Omar Boo selaku penyelaras EKSA di i-PUTRA. Beliau turut membentangkan komitmen dan pencapaian yang telah diterima oleh i-PUTRA sepanjang perjalanan membudayakan EKSA dalam kalangan warga i-PUTRA.

Juruaudit kemudiannya dibawa ke kawasan-kawasan yang terlibat untuk penilaian. Terdapat tiga zon yang terlibat untuk sesi penilaian iaitu Zon Afrika, Zon Eropah, dan Zon Asia. Kawasan-kawasan ini meliputi bilik pegawai, ruang kerja, kaunter perkhidmatan, dan amalan hijau yang diterapkan oleh para pegawai i-PUTRA. Semasa sesi penilaian berlangsung, juruaudit turut berkomunikasi dengan Pegawai Yang Bertanggungjawab (PYB) bagi setiap kawasan untuk mendapatkan informasi dengan lebih dalam selaras dengan kriteria yang telah ditetapkan.

Sesi penilaian ini berlangsung sehingga jam 12:30 tengah hari dan semua kawasan terlibat telah ditunjukkan kepada para juruaudit. Satu sesi penutupan telah berlangsung setelah penilaian semua kriteria dilakukan. i-PUTRA turut menerima pujian bagi beberapa kriteria dan juruaudit turut berkongsi pandangan mereka terhadap aspek yang perlu ditambahbaik. Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada para juruaudit yang sangat komited dan berdedikasi dalam memastikan setiap warga UPM khasnya menerapkan elemen EKSA di PTJ masing-masing.

 

 

 

 

Tarikh Input: 29/07/2024 | Kemaskini: 13/08/2024 | sh_najiyah

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 3510
-
X, (10:29:42pm-10:34:42pm, 31 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]