SERDANG, 26 Ogos 2024– Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA), UPM hari ini telah menerima satu kunjungan hormat daripada Phuket Rajabhat University (PKRU), Thailand. PKRU telah diwakili oleh Prof. Madya Dr. Nimit Soonsan, Pembantu Presiden (Pembangunan Kualiti Pembelajaran) dan Warangkana Thongnoppakun, Penolong Ketua Pengurusan Pendidikan Pelajar Antarabangsa. Perjumpaan ini adalah rentetan daripada perjumpaan Pengarah i-PUTRA dengan Prof. Madya Dr. Nimit Soonsan semasa persidangan IMT-GT UNINET di Pattani, Thailand pada 23 – 25 Julai 2024 yang lalu.
Sesi perbincangan ini dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Che Azurahanim Che Abdullah, Timbalan Pengarah i-PUTRA. Turut hadir ialah Dr. Nor Azni Abdul Aziz, Timbalan Dekan (Akademik, Pelajar dan Alumni), Fakulti Pengajian Pendidikan dan Encik Muhamad Adib Mohammed, Pegawai Eksekutif, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi.
Pada pertemuan kali ini, PKRU menyatakan hasrat mereka untuk berkolaborasi bersama UPM dalam program mobiliti pelajar dan juga berkolaborasi dalam penyelidikan dalam bidang pendidikan, perniagaan dan juga sains sosial. Perbincangan tersebut turut membincangkan potensi kerjasama dan libatsama dua hala yang memanfaatkan kedua-dua institusi. Prof. Madya Dr. Che Azurahanim menyatakan perbincangan ini akan menjadi ruang kepada potensi kolaborasi dalam silang kepakaran secara holistik khususnya dalam bidang perniagaan dan ekonomi dan pendidikan.
Prof. Madya Dr. Nimit Soonsan turut menghargai keterbukaan UPM dalam memperkukuh usaha pengantarabangsaan universiti dan berharap agar perjumpaan ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak kerjasama antara kedua-dua institusi pada masa akan datang.
Tarikh Input: 26/08/2024 | Kemaskini: 30/09/2024 | sh_najiyah
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia