Menelusuri Keindahan Alam Taman Negara | Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA)
» BERITA » Menelusuri Keindahan Alam Taman Negara

Menelusuri Keindahan Alam Taman Negara

Taman Negara Malaysia membawa pengunjung menyelami alam semula jadi yang menghijau dan menakjubkan, di mana berjalan di bawah naungan dedaunan hutan hujan tropika, menghirup udara segar dikelilingi kehijauan, serta menikmati pemandangan dari puncak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia memberikan pengalaman yang menabjubkan. Keindahan alam ini menggamit rasa ingin meneroka, menjadikannya syurga buat pencinta alam dan penggemar aktiviti lasak.

Sebagai sebahagian daripada pengalaman imersif budaya, seramai 13 pelajar mobiliti bersama tiga orang staf Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA) telah menyertai ekspedisi selama tiga hari ke Taman Negara dari 23 hingga 25 Mei 2025 untuk menerokai ekosistem hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun ini.

Aktiviti dimulakan dengan lawatan ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, yang menawarkan peluang unik kepada pelajar untuk melihat gajah-gajah yang diselamatkan, memberi makan serta berinteraksi secara dekat dengan mamalia terbesar di hutan hujan. Pada waktu malam, pelajar menyertai aktiviti berjalan malam yang mendebarkan di Taman Negara, di mana mereka menerokai ekosistem hutan yang aktif pada waktu malam, termasuk pelbagai spesies tumbuhan dan serangga.

Keesokan paginya, aktiviti diteruskan dengan pendakian selama dua jam ke Bukit Teresek. Setibanya di puncak, pelajar berpeluang menyaksikan pemandangan luas hutan purba yang menenangkan dan mengagumkan. Selesai mendaki, mereka menuju ke perkampungan Orang Asli yang didiami dua kumpulan etnik iaitu Batek dan Semokberi. Di sini, penduduk tempatan mempersembahkan demonstrasi menyalakan api menggunakan rotan dan pelajar turut berpeluang mencuba teknik memburu tradisional menggunakan sumpit buluh.

Pada hari terakhir, pelajar menaiki bot menyusuri kehijauan ke Lata Berkoh, sebuah kawasan jeram yang mempunyai kolam dalam serta arus yang kuat dan sejuk. Perjalanan diteruskan ke kawasan Perlindungan Ikan Kelah, di mana pelajar memberi makan kepada ikan air tawar sebelum berendam di sungai yang jernih dan menyegarkan, satu penutup yang indah bagi pengembaraan ini.

Selain mempelajari secara langsung tentang kepelbagaian flora, fauna dan budaya Orang Asli di hutan warisan ini, para pelajar turut merasai ketenangan dan kelegaan apabila kembali mendekati alam. Pengalaman singkat ini bukan sahaja menambah penghargaan mereka terhadap alam sekitar, malah mengeratkan hubungan sesama peserta.

Tarikh Input: 10/07/2025 | Kemaskini: 14/07/2025 | nurulshabila

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 3510
-
S, (10:13:37am-10:18:37am, 16 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]