UPM Meluaskan Capaian Antarabangsa Bersama Ritsumeikan | Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA)
» BERITA » UPM Meluaskan Capaian Antarabangsa bersama Ritsumeikan

UPM Meluaskan Capaian Antarabangsa bersama Ritsumeikan

OSAKA, 21 Julai 2025 — Dalam usaha memperluas capaian antarabangsa, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memeterai kerjasama strategik bersama Ritsumeikan University (RU) menerusi Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (Memorandum of Agreement, MoA) yang berlangsung di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Osaka 2025, Jepun.

Program ini dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia dan Education Malaysia Global Services (EMGS), yang menghimpunkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta negara dalam satu usaha bersepadu untuk mengetengahkan kecemerlangan pendidikan tinggi Malaysia ke persada antarabangsa.

Delegasi UPM diketuai oleh Naib Canselor, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, bersama-sama Pengarah Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA), Profesor Dr. Alyani Ismail, dan Timbalan Pengarah (Pengurusan), Puan Shahriah Membar. Ritsumeikan University pula diwakili oleh Profesor Dr. Mamoru Wakayama, selaku Dekan Kolej Sains Hayat.

Perjanjian ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama yang telah terjalin, terutamanya dalam bidang akademik dan penyelidikan yang dipacu oleh Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), UPM.

“Kolaborasi ini melambangkan kesungguhan berterusan kedua-dua institusi dalam memperkukuh hubungan strategik jangka panjang. Dalam hal ini, i-PUTRA menjadi tulang belakang kepada usaha merealisasikan hasrat universiti dalam agenda pengantarabangsaan,” ujar Profesor Dr. Alyani.

Penyertaan UPM di Ekspo Osaka 2025 turut diserikan dengan sesi Pocket Talk oleh Profesor Dr. Samsilah Roslan, Pengarah Putra Science Park (PSP), bertajuk “Supporting the Translation of R&D in Green Tech into Commercialised Products: How to Build a Conducive Ecosystem.” Sesi ini mendapat sambutan menggalakkan daripada delegasi antarabangsa dan menyerlahkan keupayaan UPM dalam mengubah hasil penyelidikan kepada produk bernilai tinggi menerusi pembangunan ekosistem inovasi yang menyeluruh dan menyokong.

Komitmen UPM dalam memperluas jaringan kerjasama strategik antarabangsa serta memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi jelas membuktikan peranan aktif universiti dalam mengangkat nama Malaysia di arena pendidikan tinggi global.

Tarikh Input: 23/07/2025 | Kemaskini: 23/07/2025 | nurulshabila

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 3510
-
W, (01:29:57am-01:34:57am, 14 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]