» PUTRA BAKTI » i-PUTRA bersama Komuniti – Misi Bantuan Banjir (2 Januari 2022)
i-PUTRA bersama Komuniti – Misi Bantuan Banjir (2 Januari 2022)
Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA) meneruskan matlamat misi bantuan banjir bersama pelajar antarabangsa Universiti Putra Malaysia (UPM) pada awal tahun 2022. i-PUTRA, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, serta Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Sahabat Infaq Malaysia dan Khabar Bentong telah bersetuju untuk memberikan bantuan misi banjir di beberapa kawasan di Bentong.
Pada 2 Januari 2022, seramai 107 sukarelawan dari UPM telah membantu dalam misi bantuan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong dan Sekolah Kebangsaan Tuanku Fatimah. Dalam misi ini, seramai 24 orang pelajar antarabangsa, 57 orang pelajar tempatan dan 26 orang kakitangan UPM telah membantu sekolah dalam misi pembersihan. Misi ini telah memberi pengalaman dan pendedahan kepada pelajar antarabangsa dan tempatan khususnya dalam aspek kesukarelawan.
NGO yang terlibat telah memberi sumbangan berbentuk makanan serta barangan seperti sumbangan Al-Quran daripada Nasyrul Quran Putrajaya, air, pakaian, selimut, makanan kucing dan lain-lain. i-PUTRA juga tidak ketinggalan mengagihkan sumbangan di kawasan sekitar seperti bantal dan tilam. Keseluruhan lokasi agihan sumbangan selain sekolah adalah di Taman Chegar Medang, Surau Kampung Benus, Masjid Kampung Bukit Piatu, dan Kampung Teroh, Karak.