
INFO INTEGRITI BIL.2/2025 - TANGGUNGJAWAB MELINDUNGI KERAHSIAAN DOKUMEN TERPERINGKAT
Saya ingin menarik perhatian dan mengingatkan diri saya dan warga Universiti Putra Malaysia (UPM) tentang tanggungjawab melindungi kerahsiaan dokumen terperingkat iaitu dokumen rasmi yang mengandungi maklumat yang mesti diberi perlindungan keselamatan dan yang bertanda dengan sesuatu peringkat keselamatan sama ada Rahsia Besar, Rahsia, Sulit atau Terhad seperti berikut:
(i) Rahsia Besar : Dokumen yang boleh menyebabkan kerosakan besar kepada negara;
(ii) Rahsia : Dokumen yang boleh membahayakan keselamatan negara;
(iii) Sulit : Dokumen yang boleh memudaratkan kepentingan atau martabat negara; dan
(iv) Terhad : Dokumen yang boleh menghalang kelicinan proses pentadbiran.
Membocorkan maklumat dokumen terperingkat dan rahsia Kerajaan dan UPM boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana Tidak Amanah dan Tidak Bertanggungjawab di bawah Peraturan 3(2)(f) dan Peraturan 3(2)(g), Jadual Kedua, Bahagian II, Akta 605. Pekerja yang disabitkan atas kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman tatatertib di bawah Peraturan 40, Jadual Kedua, Bahagian VI, Akta 605 termasuk hukuman Buang Kerja.
Sehubungan itu, semua Ketua PTJ dan penyelia diminta untuk menjalankan kawalan dan pemantauan terhadap tatakelakuan pekerja di PTJ masing-masing untuk memastikan tiada kebocoran maklumat dokumen terperingkat. Ketua PTJ/ penyelia yang gagal untuk menjalankan tindakan kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas pegawai bawahannya boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 21, Jadual Kedua, Bahagian II, Akta 605.
Semoga perkara ini mendapat makluman dan perhatian serius daripada YBhg. Dato’/ Datin/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan.
Updated:: 14/10/2025 [mohd_ismail]

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia