INFO INTEGRITI BIL.13/2025 | PUTRA International Centre (i-PUTRA)
» ABOUT US » INTEGRITY INFORMATION » INFO INTEGRITI BIL.13/2025

INFO INTEGRITI BIL.13/2025

INFO INTEGRITI BIL.13/2025 : BULAN INTEGRITI NASIONAL 2025 - INTEGRITI TERAS KESEJAHTERAAN NEGARA

Bersempena sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 yang bertemakan Integriti Teras Kesejahteraan Negara”, saya ingin menyeru seluruh warga Universiti Putra Malaysia untuk menilai semula kedudukan integriti bukan sahaja sebagai unsur moral dan peribadi, tetapi juga sebagai komponen strategik dalam pembinaan ekosistem akademik dan pentadbiran yang berdaya tahan serta progresif.

 

Integriti merupakan asas utama dalam memastikan kemakmuran, keadilan dan kesejahteraan negara. Integriti mencerminkan kejujuran, ketelusan serta tanggungjawab yang menjadi tiang seri dalam pembinaan sesebuah negara yang bebas rasuah dan penyelewengan. Dengan integriti, keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dapat diperkukuh, keadilan dapat ditegakkan dan kesejahteraan bersama dapat dinikmati secara menyeluruh.

 

Dalam konteks universiti sebagai institusi ilmu dan pemangkin pemikiran kritis masyarakat, integriti perlu dijadikan tunjang dan kerangka tatakelola yang mengawal proses pembuatan keputusan, pengurusan sumber, penyelidikan ilmiah, penerbitan akademik, penilaian akademik serta penyampaian perkhidmatan.

 

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj ayat 41:

“(Iaitu) mereka yang apabila Kami berikan kekuasaan di bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.”

 

Ayat ini memperincikan bahawa amanah kepimpinan dan tanggungjawab sosial hendaklah dilaksanakan berlandaskan prinsip keadilan dan kebenaran. Sehubungan dengan itu, saya ingin menegaskan beberapa keutamaan strategik yang wajar dikongsi dan diamalkan secara kolektif oleh seluruh warga universiti:

 

Penginstitusian Integriti dalam Tadbir Urus

Semua proses perolehan, pengurusan kewangan dan penggunaan sumber Universiti hendaklah berpaksikan sistem semak dan imbang (check and balance) yang telus, berakauntabiliti dan berlandaskan prinsip keadilan.

 

Pemurnian Etika Akademik dan Penyelidikan

Kecemerlangan ilmiah tidak akan tercapai sekiranya berlaku kompromi terhadap kejujuran intelektual. Plagiarisme, penipuan dan fabrikasi data serta manipulasi hasil penyelidikan hendaklah ditolak secara tuntas bagi memastikan maruah akademia terus terpelihara.

 

Pembudayaan Kejujuran dalam Pembelajaran Pelajar

Disiplin akademik mesti dipupuk bukan sahaja melalui penguatkuasaan tatatertib, tetapi juga melalui pembentukan sahsiah dan literasi etika yang menyeluruh dalam proses pembelajaran.

 

Keberanian Menegakkan Kebenaran

Saluran pelaporan salah laku (whistleblowing) hendaklah dimanfaatkan bukan sebagai mekanisme menghukum, tetapi sebagai instrumen pemulihan reputasi dan pengukuhan kebertanggungjawaban institusi.

 

Dengan mengambil semangat tema Integriti Teras Kesejahteraan Negara”, saya menyeru seluruh warga UPM untuk mentransformasikan integriti daripada ungkapan harian kepada realiti yang boleh diukur, dirasai kesannya dan menjadi budaya kerja serta pembelajaran dalam seluruh universiti ini.

 

Ribuan terima kasih diucapkan atas komitmen berterusan warga UPM dalam menjulang reputasi universiti yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan, tetapi juga unggul dalam menghayati prinsip integriti, tatakelola baik dan nilai antirasuah.

Updated:: 11/11/2025 [mohd_ismail]

MEDIA SHARING

PUTRA International Centre (i-PUTRA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 3510
-
S, (06:55:21pm-07:00:21pm, 12 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]