INFO INTEGRITI BIL.7/2026 - PERMOHONAN DAN PENDEDAHAN PERCANGGAHAN KEPENTINGAN
Dengan hormatnya perkara di atas dirujuk.
2. Saya ingin menarik perhatian dan mengingatkan diri saya dan warga Universiti Putra Malaysia (UPM) berkaitan permohonan dan percanggahan kepentingan. Dimaklumkan bahawa selaras dengan Kaedah-Kaedah Universiti Putra Malaysia (Pendedahan Percanggahan Kepentingan) 2021, semua warga Universiti adalah bertanggungjawab untuk memastikan kepentingan peribadi tidak bercanggah dengan tugas dan tanggungjawab rasmi. Percanggahan kepentingan berlaku apabila kepentingan peribadi, termasuk kepentingan kewangan, keluarga atau hubungan lain, mempengaruhi atau dilihat mempengaruhi pelaksanaan tugas rasmi.
3. Sehubungan itu, mana-mana pegawai yang mempunyai kepentingan peribadi dalam sesuatu urusan atau transaksi; atau berada dalam keadaan ragu-ragu sama ada wujud percanggahan kepentingan, hendaklah mendedahkan secara bertulis dan membuat permohonan kebenaran sebelum terlibat dalam urusan tersebut. Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Naib Canselor melalui Pendaftar dengan menyatakan maklumat lengkap termasuk latar belakang transaksi, kepentingan peribadi serta manfaat yang diperoleh.
4. Oleh itu, sepanjang tempoh pertimbangan, pegawai hendaklah menahan diri daripada terlibat dalam urusan tersebut sehingga keputusan bertulis diberikan oleh pihak Universiti. Kegagalan untuk membuat pendedahan atau mematuhi kaedah ini boleh dianggap sebagai pelanggaran tatakelakuan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peruntukan yang berkuat kuasa.
5. Justeru, semua warga UPM adalah diingatkan untuk sentiasa mengamalkan prinsip profesionalisme, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap urusan demi memelihara integriti serta reputasi Universiti.
Semoga perkara ini mendapat makluman dan perhatian serius daripada YBhg. Dato’/ Datin/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan.
Sekian, terima kasih.

Updated:: 15/07/2026 [mohd_ismail]

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia