INTEGRITY INFO NO.9/2026 | PUTRA International Centre (i-PUTRA)
» ABOUT US » INTEGRITY INFORMATION » INTEGRITY INFO NO.9/2026

INTEGRITY INFO NO.9/2026

INFO INTEGRITI BIL.9/2026 - PEMATUHAN LARANGAN PENGLIBATAN DALAM AKTIVITI POLITIK OLEH WARGA UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

Dengan hormatnya perkara di atas dirujuk.

2.   Saya ingin menarik perhatian dan mengingatkan diri saya dan warga Universiti Putra Malaysia (UPM) bahawa UPM komited untuk memastikan setiap warga universiti sentiasa memelihara prinsip berkecuali, profesionalisme, integriti dan kesetiaan kepada Kerajaan dan UPM dalam melaksanakan tugas rasmi.

3.   Sehubungan itu, semua pekerja UPM hendaklah mematuhi Peraturan 20, Jadual Kedua, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605] yang mengawal penglibatan pegawai badan berkanun dalam aktiviti politik seperti berikut:

i) Kumpulan Pengurusan dan Profesional

Pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah DILARANG mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti politik atau memakai apa-apa lambang parti politik. Larangan ini termasuk:

  • membuat kenyataan awam secara lisan, bertulis atau melalui media sosial yang memihak kepada mana-mana parti politik atau isu yang menjadi pertikaian antara parti politik;
  • menerbitkan, berkongsi atau mengedarkan bahan yang menyokong atau mempromosikan pandangan politik yang berat sebelah;
  • merayu undi atau berkempen bagi menyokong mana-mana calon dalam pilihan raya atau pemilihan jawatan parti;
  • bertindak sebagai ejen pilihan raya, ejen tempat mengundi atau menjalankan apa-apa fungsi rasmi bagi pihak calon;
  • bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti politik; dan
  • memegang apa-apa jawatan dalam parti politik.

ii) Kumpulan Pelaksana

Pegawai dalam Kumpulan Pelaksana mempunyai kelonggaran dalam berpolitik. Walau bagaimanapun, pegawai Kumpulan Pelaksana tidak boleh memegang atau bertanding bagi jawatan dalam parti politik tanpa terlebih dahulu memperoleh kelulusan bertulis daripada Lembaga Pengarah UPM sebagaimana diperuntukkan dalam Akta 605.

Ini bermaksud, walaupun pegawai Kumpulan Pelaksana boleh memohon untuk terlibat dalam jawatan parti politik, penglibatan tersebut bukan suatu hak automatik dan hanya boleh dilaksanakan selepas kelulusan bertulis diperoleh daripada pihak berkuasa yang berkenaan.

iii) Keanggotaan Sebagai Ahli Biasa

Akta 605 turut memperuntukkan bahawa tiada apa-apa dalam Peraturan 20 menghalang seseorang pegawai daripada menjadi anggota biasa mana-mana parti politik. Walau bagaimanapun, keanggotaan tersebut tidak boleh berkembang kepada penglibatan aktif yang menyalahi peruntukan undang-undang atau menjejaskan kewajipan pegawai terhadap UPM.

iv) Penggunaan Media Sosial

Warga UPM hendaklah sentiasa berhati-hati dalam penggunaan media sosial dan mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan persepsi bahawa pekerja UPM gagal mengekalkan sifat berkecuali dan profesionalisme sebagai penjawat badan berkanun seperti berikut :

  • memuat naik kandungan yang menunjukkan keberpihakan politik;
  • menghasilkan video, poster atau siaran langsung bagi tujuan berkempen;
  • menggunakan jawatan rasmi di UPM untuk mempengaruhi sokongan politik; atau
  • memberi gambaran bahawa pendirian politik peribadi mewakili pendirian Universiti.

Selain itu, pekerja UPM juga dilarang membuat kenyataan awam yang boleh memudaratkan dasar atau keputusan Kerajaan atau UPM tanpa kebenaran yang sewajarnya.

v) Tanggungjawab Sebagai Warga UPM

Setiap warga UPM hendaklah:

  • mengekalkan sikap berkecuali semasa menjalankan tugas rasmi;
  • mengelakkan penggunaan kemudahan, masa bekerja atau sumber Universiti bagi tujuan politik;
  • memastikan jawatan dan kedudukan di UPM tidak digunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik; dan
  • sentiasa memelihara imej, reputasi dan kepercayaan masyarakat terhadap UPM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi awam.

Kewajipan ini selaras dengan tatakelakuan pegawai yang mewajibkan setiap pegawai memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, negara, Kerajaan dan badan berkanun, serta tidak berkelakuan sehingga memburukkan nama badan berkanun atau membiarkan kepentingan peribadi menjejaskan tugas rasmi.

vi) Implikasi Ketidakpatuhan

Sebarang pelanggaran terhadap peruntukan Akta 605 merupakan pelanggaran tatakelakuan dan boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib mengikut peruntukan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605], termasuk hukuman yang diperuntukkan oleh pihak berkuasa tatatertib.

Semoga perkara ini mendapat makluman dan perhatian serius daripada YBhg. Datuk/ Dato’/ Datin/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan.

Sekian, terima kasih.

Updated:: 15/07/2026 [mohd_ismail]

MEDIA SHARING

PUTRA International Centre (i-PUTRA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 3510
-
X, (10:02:21am-10:07:21am, 17 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]