INFO INTEGRITI BIL.4/2026 -PENGUATKUASAAN DASAR PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT UPM
Dengan hormatnya perkara di atas dirujuk.
2. Adalah dimaklumkan bahawa Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) telah meluluskan Dasar Perlindungan Pemberi Maklumat UPM yang berkuat kuasa mulai 29 Januari 2026. Penggubalan dasar ini mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam menegakkan prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam semua urusan pentadbiran serta operasi Universiti.
3. Dasar ini juga menyediakan saluran rasmi dan sulit kepada warga UPM, pelajar serta pihak luar untuk melaporkan sebarang salah laku yang dilakukan oleh pekerja UPM, di samping memberi perlindungan sewajarnya kepada Pemberi Maklumat daripada sebarang bentuk Tindakan Mudarat. Pembuatan Dasar ini bertujuan untuk:
(i) memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang membuat pendedahan dengan niat baik selaras dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711];
(ii) menggalakkan budaya pelaporan yang bertanggungjawab dan beretika;
(iii) memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus Universiti; dan
(iv) menegakkan pematuhan kepada undang-undang dan dasar Kerajaan berkaitan pencegahan rasuah dan salah guna kuasa.
4. Sehubungan itu, semua warga UPM adalah diminta untuk mengambil maklum berkenaan penguatkuasaan dasar ini dan merujuk kepada dokumen penuh Dasar Perlindungan Pemberi Maklumat UPM yang boleh diakses melalui laman sesawang rasmi Pejabat Pendaftar.
Kerjasama dan komitmen YBhg. Dato’/ Datin/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan dalam membudayakan integriti serta menyokong pelaksanaan dasar ini amatlah dihargai.

Updated:: 15/07/2026 [mohd_ismail]

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia