INTEGRITY INFO NO.3/2026 | PUTRA International Centre (i-PUTRA)
» ABOUT US » INTEGRITY INFORMATION » INTEGRITY INFO NO.3/2026

INTEGRITY INFO NO.3/2026

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

YBhg. Dato’/ Datin/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan,

INFO INTEGRITI BIL.3/2026 - GANGGUAN SEKSUAL ADALAH KESALAHAN JENAYAH DAN TATATERTIB

Dengan hormatnya perkara di atas dirujuk.

2.   Adalah dimaklumkan bahawa Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan komitmen Toleransi Sifar terhadap sebarang bentuk gangguan seksual di tempat kerja, kampus dan dalam apa jua urusan rasmi universiti. Universiti tidak akan bertoleransi dengan apa-apa perbuatan gangguan seksual sama ada perlakuan itu secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal ke atas warga UPM tanpa mengambil kira perbuatan gangguan itu dilakukan oleh:

(a)  pekerja kepada pekerja;

(b)  pekerja kepada pelajar;

(c)  pekerja kepada pelanggan UPM;

(d)  pelanggan UPM kepada pekerja;

(e)  pelajar kepada pelajar;

(f)  pelajar kepada pekerja;

(g)  pelajar kepada pelanggan UPM;

(h)  pelanggan UPM kepada pelajar.

3.   Untuk makluman, gangguan seksual ditakrifkan sebagai sebarang kelakuan berunsur seksual yang tidak diingini sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal, atas sebab yang munasabah setelah mengambil kira segala hal keadaan, akan menyebabkan seseorang yang waras berasa tersinggung, terhina atau terugut. Perbuatan tersebut boleh terjadi kepada sesiapa sahaja sama ada berlainan atau sesama jantina. Dengan kata lain, perbuatan tersebut merentasi jurang gender dan status seseorang.

i.    Siapakah yang boleh menjadi mangsa atau pelaku

Gangguan seksual tidak terhad kepada lelaki terhadap wanita sahaja. Ia boleh berlaku dalam semua kombinasi berikut:

(a)  lelaki terhadap wanita;

(b)  wanita terhadap lelaki;

(c)  lelaki terhadap lelaki; dan

(d)  wanita terhadap wanita.

ii.   Jenis Gangguan Seksual

(a)  Gangguan Fizikal

Gangguan seksual yang berbentuk sentuhan fizikal adalah perbuatan seperti merapati orang lain dalam jarak yang terlalu dekat sehingga dia merasa tidak selesa, memegang, menggesel, memeluk, mengusap, mencium, menepuk, mencubit atau sentuhan lain yang berunsur seksual yang tidak diingini sehingga menyebabkan mangsa berasa kurang selesa, tersinggung, terhina atau terugut.

(b)  Gangguan Secara Lisan

Gangguan secara lisan dapat dilihat melalui penggunaan bahasa lucah melalui perbuatan, bercerita, berjenaka, membuat bunyi-bunyian, memberi kritikan, komen, pujian berunsur seksual ke atas penampilan, pakaian, tingkah laku, bentuk tubuh badan atau mengajukan soalan berunsur seksual ke atas seseorang secara terang-terangan atau berselindung (berkias) sehingga mangsa berasa tersinggung, terhina atau terugut untuk berurusan dengan pelaku. Seperti contoh, kenyataan tentang bahagian pada tubuh badan wanita atau anggota sulit sehingga menyebabkan rasa tidak selesa dan memalukan.

 (c)  Gangguan Bukan Lisan (Secara Isyarat)

Bentuk gangguan bukan lisan ini adalah seperti sikap atau pelakuan yang memberi maksud atau gambaran keinginan yang berunsur seksual seperti merenung, menjeling, menggoda, mengintai, menjilat bibir atau menggunakan bahasa isyarat yang lain contohnya seperti merenung, menjeling atau memandang pada bahagian-bahagian tertentu tubuh dengan pandangan yang tidak sopan, memberi isyarat tangan atau bahasa tubuh yang membayangkan perlakuan seks.

 (d)  Gangguan Secara Visual

Gangguan secara visual adalah keadaan apabila pelaku menghantar nota, surat, mel elektronik (e-mel), short messaging system (SMS), multimedia messaging system (MMS), gambar, poster, objek, bahan bacaan yang berunsur seksual yang diedar melalui media elektronik, blog, vlog atau platform media sosial seperti aplikasi Facebook, WhatsApp, Twitter atau apa-apa aplikasi yang membolehkan bahan-bahan dipindahkan ke paparan umum dan terbuka atau melalui penggunaan apa jua peralatan media, peralatan elektronik atau peralatan komunikasi kepada mangsa sehingga menyebabkan mangsa berasa takut, tersinggung, terhina dan tergugat. Contohnya seperti menunjuk atau mempamer gambar/ ilustrasi berunsur lucah, menghantar surat, nota atau bahan bertulis yang berunsur seksual atau menghantar bahan bertulis yang mengandungi simbol lucah.

 (e)  Gangguan Secara Psikologi

Gangguan psikologi adalah perbuatan cuba merapati secara seksual, mendorong, mengugut, mendesak, memujuk rayu bagi memenuhi keperluan keinginan seksual pelaku sama ada melalui surat, telefon, e-mel, media sosial (contoh: aplikasi WhatsApp, Facebook, Twitter dan Instragram) atau sebarang bentuk peralatan komunikasi kepada pengadu yang menyebabkan tekanan emosi dan mental ke atas mangsa. Contohnya, rayuan berkali-kali atau berterusan untuk kegiatan berunsur seksual.

 

iii.   Implikasi Undang-Undang dan Tatatertib

Perbuatan gangguan seksual boleh membawa kepada tindakan berikut:

 (a)  Tindakan Jenayah

                   Di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574], antaranya:

*Seksyen 354 - Mencabul kehormatan (hukuman sehingga 10 tahun penjara atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya);

*Seksyen 509 - Perkataan/isyarat yang mengaibkan kehormatan (hukuman sehingga 5 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya).

(b)  Tindakan Sivil

Di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840], aduan boleh dibuat kepada Tribunal Antigangguan Seksual yang boleh memerintahkan:

*  Pampasan sehingga RM250,000;

*  Permohonan maaf;

*  Program pemulihan/kaunseling;

*  Perintah lain yang bersesuaian.

Pengadu juga bebas membuat laporan polis bagi tindakan jenayah.

(c)  Tindakan Tatatertib

Tindakan tatatertib boleh diambil selaras dengan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605] dan hukuman boleh dikenakan termasuk amaran, denda, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan buang kerja.

 

iv.  Tindakan yang boleh diambil oleh Pengadu

(a)  Pengadu boleh mengemukakan aduan rasmi ke Seksyen Integriti, Bahagian Governan dan Integriti, Pejabat Pendaftar.

(b)  Sekiranya perbuatan gangguan seksual itu terjumlah kepada kesalahan jenayah seperti mencabul kehormatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atau meminta layanan seksual sebagai suapan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan sebagainya, Pengadu boleh membuat laporan polis atau mengemukakan aduan kepada agensi yang bertanggungjawab; atau

(c)  Sekiranya Pengadu tidak pasti sama ada gangguan seksual telah terjadi ke atasnya atau jika Pengadu mempercayai dirinya telah mengalami gangguan seksual tetapi tidak pasti apakah tindakan yang boleh diambil, pegawai boleh menghubungi Pegawai Psikologi untuk mendapatkan maklumat atau khidmat nasihat selanjutnya.

Setiap aduan akan dikendalikan secara profesional, berhemah dan berlandaskan prinsip kerahsiaan selaras dengan Dasar Perlindungan Pemberi Maklumat UPM. Marilah kita bersama-sama memelihara persekitaran kampus yang selamat, profesional dan berintegriti.

Semoga perkara ini mendapat makluman dan perhatian serius daripada YBhg.Dato’/ Datin/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan.

Sekian, terima kasih.

Updated:: 09/03/2026 [mohd_ismail]

MEDIA SHARING

PUTRA International Centre (i-PUTRA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 3510
-
F, (03:02:03pm-03:07:03pm, 11 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]